Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang Pegawai Kanan Kerajaan bergelar datuk ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Beliau yang berusia 56 tahun itu, ditahan reman sehingga 22 Ogos depan.

Tempoh tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar Majistret Mahkamah Ayer Keroh Syarina Shaarani.

Media hari ini melaporkan, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki dalam kenyataannya semalam berkata, tiga penjawat awam termasuk dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk ditahan atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Mereka yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan selain seorang pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ditahan dalam operasi di tiga lokasi berasingan di Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Susulan penahanan itu, akaun milik ketiga-tiga individu terbabit yang melebihi RM13 juta dibekukan serta kenderaan mewah dan rumah turut disita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 12:02 PM
PEGAWAI Kanan Kerajaan diiringi pegawai SPRM selepas mendapat perintah tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
PEGAWAI Kanan Kerajaan diiringi pegawai SPRM selepas mendapat perintah tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. FOTO Rasul Azli Samad