MAHDZIR (kanan) diiringi Nadzri (kiri) menyerahkan borang lesen memandu kepada pelajar Nor Adilah Yusuf, 16, di Pelancaran Program MyLesen Pelajar Sekolah Peringkat Kebangsaan 2016. FOTO Sharul Hafiz Zam
MAHDZIR (kanan) diiringi Nadzri (kiri) menyerahkan borang lesen memandu kepada pelajar Nor Adilah Yusuf, 16, di Pelancaran Program MyLesen Pelajar Sekolah Peringkat Kebangsaan 2016. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Pendang: Program MyLesen fasa kedua yang sepatutnya tamat bulan ini dilanjutkan kepada 31 Disember bagi membolehkan lebih ramai pelajar sekolah berusia 16 tahun ke atas memiliki lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron berkata, MyLesen mula diperkenalkan pada 15 September 2015 dan mendapat sambutan menggalakkan bagi membantu rakyat luar bandar memiliki lesen memandu sah.

Menurutnya, disebabkan itu, program ini (MyLesen) diperluaskan kepada pelajar sekolah bagi membolehkan mereka yang masih tidak memiliki lesen menyertainya.

"Bayaran pula hanya RM299 termasuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang perlu dibayar terus kepada pihak institut memandu manakala proses latihan dan ujian hendaklah dilaksanakan di institut memandu mengikut prosedur sedia ada," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program MyLesen Pelajar Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Temenggung di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merasmikan majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Mahdzir berkata, statistik dikeluarkan Kementerian Pendidikan mendapati 117,268 daripada 172,535 pelajar sekolah yang menggunakan kenderaan ke sekolah tidak memiliki lesen memandu sah dan terdedah risiko kemalangan.

"Statistik kemalangan membabitkan pelajar sekolah bermula Januari hingga Julai tahun ini merekodkan sebanyak 48 kes kemalangan.

"Sehubungan itu kementerian menyokong program MyLesen ini dilaksanakan kepada pelajar sekolah bagi menggalakkan mereka mendapat lesen memandu dan memberi pendidikan serta pendedahan berhubung kepentingan keselamatan jalan raya," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran itu.

Foto Shahrul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:05 PM