Sepang: Akta Kanak-Kanak 2001 akan dimanfaatkan sepenuhnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghukum ibu bapa dan penjaga murid serta pelajar yang cuai kerana membenarkan anak masing-masing menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah termasuk sehingga terbabit kemalangan.

Nada tegas itu dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas melihat peningkatan jumlah kes kemalangan maut dan cedera parah membabitkan murid dan pelajar akibat menunggang motosikal.

Khalid berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas terutama menghukum pemilik motosikal itu sendiri kerana membenarkan pelajar menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah.

Beliau berkata, pihaknya menyeru kepada ibu bapa dan penjaga supaya lebih serius dalam perkara ini kerana statistik kematian dan kecederaan dikeluarkan akhir-akhir ini amat mengejutkan serta membimbangkan.

“Berdasarkan statistik sepanjang 2014 sehingga Mac tahun ini, 599 murid dan pelajar maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikal ke sekolah manakala, 2,093 mengalami cedera parah,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bas oleh AirAsia Bhd (AirAsia) kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM Datuk Zulkifli Abdullah; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar.

Pada majlis itu, IPD Sepang menerima sebuah bas khas dilengkapi 44 tempat duduk dengan tempat duduk premium yang sama digunakan dalam pesawat Airbus 320 milik AirAsia, selain corak hiasan gabungan jenama syarikat penerbangan tambang murah itu dan PDRM.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara bagi membincangkan bentuk hukuman yang setimpal dan sesuai boleh dikenakan terhadap ibu bapa dan penjaga berdasarkan kecuaian yang dilakukan itu.

Menurutnya, beliau mahu ibu bapa dan penjaga lebih serius terutama dalam memastikan anak masing-masing tidak menggunakan motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:37 AM