Nazli  (tujuh kiri berdiri)   pada Majlis Pelancaran Program MyLesen Kadet JPJ    di Sekolah Agama Menengah Bestari, semalam.
Nazli (tujuh kiri berdiri) pada Majlis Pelancaran Program MyLesen Kadet JPJ di Sekolah Agama Menengah Bestari, semalam.
HM Digital

Subang Jaya: Kira-kira 80 peratus daripada 117,000 pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah di seluruh negara dikenal pasti tiada lesen sah pada 2016.

Kajian JPJ bersama Kementerian Pendidikan mendedahkan hanya 20 peratus atau 23,400 pelajar yang ada lesen motosikal B2 sah ketika ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, kewujudan pasukan Kadet JPJ di sekolah mampu menangani isu itu.

Terkini, 173 pelajar di Selangor layak mendapatkan lesen motosikal B2 melalui Program MyLesen Kadet JPJ.

Nazli berkata, semua pelajar layak itu adalah daripada 24 sekolah di tujuh daerah di negeri ini.

“Buat masa sekarang kami fokus menambah lagi Kadet JPJ di semua sekolah untuk melayakkan lebih ramai pelajar memiliki lesen sah,” katanya selepas Pelancaran Program MyLesen Kadet JPJ Peringkat Selangor di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, di sini, semalam.

Nazli berkata, program berkenaan bertujuan memudahkan pelajar mendapatkan lesen selain membentuk mereka menjadi pemandu berhemat.

“Ada pelajar yang pergi ke sekolah dengan motosikal, tetapi mereka menunggang tanpa lesen yang menjadi kesalahan mengikut undang-undang.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif dari sekolah dan ibu bapa. Jika dulu ibu bapa sukar menghantar anak mereka ke institut memandu kerana kekangan masa, tetapi program ini membantu anak mereka mendapatkan lesen dengan lebih mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:39 AM