Reuters

London: Pelumba Indonesia Rio Haryanto (gambar) akan kekal bersama Manor sebagai pemandu simpanan selepas namanya diketepikan daripada senarai pelumba utama.

Pasukan Formula Satu itu berkata, keputusan berkenaan hadir sehari selepas mereka mengumumkan pemandu Perancis Esteban Ocon akan mengambil tempat Haryanto pada perlumbaan Grand Prix Belgium kerana masalah kontrak.

Manor berkata, Haryanto yang selama ini ditaja syarikat minyak Indonesia Pertamina, tetapi mereka perlu menambah jumlah tajaan bagi membolehkan pelumba itu terus bersaing, bersetuju dengan tawaran untuk kekal sebagai pemandu simpanan hingga baki musim ini.

“Rio akan menjadi ganti kepada pelumba yang tidak dapat mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan kelmarin.

“Dia akan turut terbabit dalam mesyuarat mengenai jentera serta aktiviti perhubungan kerana pasukan masih lagi menyokong cita-citanya untuk menjadi pelumba.”

Haryanto muncul pemandu Formula Satu Indonesia pertama, Mac lalu. Dia sudah bersaing dalam 12 pusingan, tetapi masih gagal memperoleh sebarang mata.

Ocon mendapat sokongan penuh Mercedes dan Renault dan dia pernah menjadi pemandu simpanan F1 serta bergandingan dengan pemandu Jerman Pascal Wehrlein dalam pasukan Manor yang menggunakan enjin Mercedes.

Manor yang juga pasukan terkecil Formula Satu, tetapi menduduki tangga ke-10 dan 11 kategori pengeluar, turut mengikat juara perlumbaan Indianapolis 500 Alexander Rossi sebagai pemandu simpanan mereka, Mac lalu.

Bagaimanapun, pemandu kelahiran Amerika Syarikat itu mengambil keputusan menolak tawaran berkenaan kerana komitmennya terhadap IndyCar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 9:02 AM