AFP

Jakarta: Pemandu Formula Satu pertama Indonesia Rio Haryanto (gambar) mungkin terpaksa menamatkan musim F1 lebih awal jika dia gagal membawa masuk tajaan jutaan dolar kata pegawai pasukannya semalam.

Baru-baru ini, pasukan diwakilinya, Manor Racing menghantar surat kepada kerajaan Indonesia - yang selama ini membantu Haryanto - untuk meminta bayaran tujuh juta euro (RM31.2 juta) bagi meneruskan karier pelumba itu.

Kementerian sukan republik berkenaan berkata, dana berkenaan yang tertunggak hasil perjanjian dengan Manor, perlu diserahkan segera dan kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan pelumba berusia 23 tahun itu digantikan dengan pelumba lain.

Penaja utama Haryanto, Pertamina dan kerajaan sudah membiayai dana secukupnya untuk membolehkan pelumba itu beraksi padas separuh musim ini tetapi pegawai pasukannya sedang berdepan masalah mendapatkan lebih banyak dana.

“Kami faham dengan masalah Manor tapi kami harap Rio tidak akan digantikan pemandu lain hanya kerana masalah itu,” kata jurucakap kementerian Gatot Dewa Broto kepada AFP.

Broto berkata, kerajaannya sudah melakukan pelbagai kaedah untuk mencari dana buat Haryanto termasuk berbincang dengan beberapa penaja yang dilihat berpotensi untuk membantu tapi pasukan pelumba berkenaan mengharapkan jumlah yang agak besar.

“Kami tidak dapat melihat perkara itu (dana lebih besar) akan berlaku,” katanya sambil menambah pihaknya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada Manor Racing.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan dari pasukan berpangkalan di Britain itu.

Musim Formula Satu akan diteruskan dengan aksi di Belgium, hujung bulan ini.

Haryanto menandatangani kontrak setahun bersama Manor, Februari lalu, selepas penajanya menyediakan dana mencukupi untuk membolehkannya menyertai perlumbaan.

Bagaimanapun, kariernya tidak begitu memberangsangkan dan ketika ini dia menduduki tangga terbawah kategori pelumba apabila tidak berjaya memperoleh sebarang mata.

Manor pula menduduki tangga ke-10 kategori pengeluar dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:47 AM