Agensi

London: Pemandu Sauber Pascal Wehrlein (gambar) mungkin terlepas ujian pramusim pertama Formula Satu selepas mengalami kecederaan tengkuk.

Pelumba Jerman berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan tengkuk itu selepas kemalangan dalam Perlumbaan Juara-Juara di Miami bulan lalu.

Wehrlein, pemandu muda Mercedes yang berlumba untuk Manor tahun lalu, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan hujung minggu depan untuk melihat sama ada dia cergas untuk memandu.

Ujian pramusim pertama diadakan di Barcelona dari 27 Februari hingga 2 Mac ini.

Sauber menganggap kemungkinan Wehrlein terlepas beberapa sesi ujian sebagai “spekulasi” sambil menambah “pemeriksan kesihatan sedang dilakukan.”

Kerusi Wehrlein di pasukan Switzerland itu ditaja Mercedes tahun ini selepas syarikat Jerman itu memutuskan untuk tidak mengubahnya daripada pemandu simpanan bagi menggantikan juara dunia Nico Rosberg, yang bersara hujung musim lalu.

Tempat di samping Lewis Hamilton sebaliknya diberikan kepada bekas pemandu Williams Valtteri Bottas.

Mercedes lebih memerlukan pengalaman dan konsisten pemandu Finland itu, berasakan Wehrlein belum bersedia selepas hanya setahun pengalaman memandu secara kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 7:46 AM