AFP

Sochi, Russia:Valtteri Bottas (gambar) menjulang gelaran Formula Satu pertamanya semalam selepas berjaya mengetepikan tekanan hebat daripada pendahulu kejuaraan Sebastian Vettel untuk memberikan kemenangan buat Mercedes dalam aksi Grand Prix Russia.

Pelumba Finland itu yang bermula dari petak ketiga grid melaungkan cabaran sejak awal perlumbaan dengan memecut memintas kedua-dua pelumba Ferrari untuk mendahului perlumbaan manakala rakan sepasukannya di Mercedes Lewis Hamilton bergelut untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Juara empat kali Vettel menduduki tempat kedua mendahului rakan sepasukan Ferrari Kimi Raikkonen yang meraih podium pertamanya sejak Grand Prix Austria tahun lalu.

Kemenangan sulung Bottas mendapat sambutan hangat daripada rakan pemandu dan paddock, malah Hamilton turut memeluknya selepas dia melompat ke arah krew dan Vettel turut meraikannya dan Presiden Russia Vladimir Putin turut hadir untuk mengucap tahniah dan menyampaikan hadiah.

“Berbaloi menunggu!” kata Bottas selepas menamatkan perlumbaan 0.06 saat mendahului Vettel.

Pelumba remaja Belanda Max Verstappen di tangga kelima buat Red Bull mendahului pelumba Mexico Sergio Perez dan rakan sepasukan Force India Esteban Ocon, pelumba Jerman Nico Hulkenberg dari Renault dan pelumba Brazil Felipe Massa dari Williams.

Keputusan itu meletakkan Vettel jauh di depan dalam kejuaraan pemandu dengan 86 mata mendahului Hamilton yang mengutip 73 mata manakala Bottas di tangga ketiga dengan 63 mata.

Mercedes mendahului kategori pengeluar dengan 136 mata berbanding Ferrari 135 selepas empat pusingan kejohanan tahun ini. AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 9:37 AM