HAMILTON mula dapat rentak di Litar Melbourne.
HAMILTON mula dapat rentak di Litar Melbourne.
AFP

Melbourne: Juara dunia Lewis Hamilton mendominasi sesi latihan bebas musim baru Formula Satu semalam ketika rakan sepasukan Mercedes Nico Rosberg berdepan masalah awal di Grand Prix Australia.

Hamilton hanya membuat penampilan khas sewaktu sesi kedua yang dibasahi hujan, namun masih berjaya mencatat masa pusingan terpantas memberikan amaran awal buat pesaingnya pada perlumbaan pembuka tirai minggu ini.

Hamilton yang turut mencatat masa terpantas pada latihan pertama mencatat masa pusingan terpantas satu minit 38.841 saat di litar licin yang membuktikan penguasaannya menjelang kelayakan hari ini.

Namun Rosberg, pesaing terdekatnya musim lalu, berdepan masalah ketika sesi latihan kedua apabila hilang kawalan jentera Mercedes, terbabas dan menghentam dinding selekoh ketujuh dan merosakkan sayap kanan keretanya.

Pemandu Jerman itu diberitahu menerusi radio pasukan, “Keluar dari kereta Nico, hentikan kereta” sebelum dia menghentikan keretanya di selekoh 13 untuk mengelak sebarang kerosakan lanjutan.

Pasukan Mercedes mengesahkan kereta Rosberg mengalami kerosakan di bahagian hadapannya.

Ketika hujan mengecewakan perancangan pasukan pada awal musim baharu, Hamilton meneruskan kecemerlangan tahun lalu yang mana dia menang 10 daripada 19 perlumbaan.

Pelumba Britain itu berada di garaj pasukan hingga akhir sesi kedua sebelum mencatat masa terpantas pada pusingan pertamanya.

Ia cukup untuk mempunyai kelebihan 0.467s berbanding pelumba Jerman Nico Hulkenberg dari pasukan Force India dan pelumba Ferrari Kimi Raikkonen ketika hujan menjadikan perlumbaan berbahaya.

Hamilton mencatat 1:29.725 untuk mendahului 0.421s berbanding dua pemandu Red Bull Daniil Kvyat dan pelumba Australia Daniel Ricciardo pada latihan pertama, yang turut diadakan di Albert Park yang basah.

Pelumba Ferrari Sebastian Vettel, yang tidak mencatat sebarang masa pada latihan pertama, mencatat masa kelapan terpantas pada sesi kedua tetapi 1.920s lebih perlahan daripada Hamilton.

Rio Haryanto, pelumba F1 pertama Indonesia yang hanya membuat persiapan empat minggu dengan kereta Manor Racing melakukan 22 pusingan pada sesi latihan kedua dan menduduki tangga ke-14 dengan catatan 1:44.304.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:23 AM