RIO (tengah) ketika sidang media di  Tangerang, Banten.
RIO (tengah) ketika sidang media di Tangerang, Banten.

Jakarta: Firma minyak milik Indonesia Pertamina yang juga penaja utama pemandu Formula Satu negara republik itu, Rio Haryanto memutuskan untuk menghentikan sebarang iklan terhadap pasukan Manor Racing serta-merta.

Jurucakap Pertamina Wianda Pusponegoro berkata, keputusan itu dibuat selepas Rio digugurkan daripada tugas selaku pemandu utama pasukan itu sedangkan tujuan utama mereka menghulurkan tajaan adalah bagi memastikan pelumba berkenaaan dapat membawa nama Indonesia pada saingan Formula Satu.

“Pasukan Manor Racing membuat tawaran supaya kami meneruskan pengiklanan kami terhadap kereta mereka. Bagaimanapun, kami memutuskan tidak berbuat sedemikian,” katanya kepada Jakarta Post.

Pasukan Manor Racing menggantikan Rio dengan pemandu Perancis Esteban Coton pada 10 Ogos lalu selepas penaja pelumba itu dikatakan gagal menjelaskan baki tajaan seperti yang termaktub di dalam kontrak.

Setakat ini, Pertamina sudah mengeluarkan tajaan sebanyak €5 juta (RM22.39 juta) manakala keluarga pelumba itu mengeluarkan €2.5 juta (RM11.19 juta).

Jurucakap Kementerian Belia dan Sukan Gatot S Dewa Broto berkata, Kerajaan Indonesia kecewa dengan tindakan pasukan itu. Bagaimanapun, mereka faham pasukan itu sangat memerlukan dana untuk meneruskan operasi.

“Kerajaan Indonesia mengucapkan terima kasih kepada pasukan Manor yang sudah memberikan peluang kepada Rio untuk bertanding bagi musim 2016,” kata Gatot. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:17 AM