Reuters

Spa-Francorchamps, Belgium: Nico Rosberg (gambar) selesa mendahului pelumba lain menerusi catatan masa terpantas selepas sesi latihan bebas menjelang Grand Prix Belgium, semalam.

Pemandu Jerman itu melakar satu minit 48.348 saat, 0.730s di depan rakan sepasukannya di Mercedes Lewis Hamilton ketika masing-masing menamatkan sesi latihan bebas di litar Spa-Francorchamps.

Rosberg antara empat pelumba yang mencuba kit pelindung kepala yang dikenali sebagai ‘halo’ ketika sesi itu berlangsung tetapi ia langsung tidak mengganggu tumpuannya untuk mencatat masa terpantas.

Semua pasukan sedang mencuba konsep keselamatan terbaru diperkenalkan dan hanya akan dijadikan mandatori pada musim 2018 nanti.

Pemandu Toro Rosso Carlos Sainz, Force India (Nico Hulkenberg) dan Red Bull (Daniel Ricciardo) turut mengenakan kit pelindung kepala berkenaan.

Pemandu Ferrari Kimi Raikkonen yang pernah memenangi empat perlumbaan di Spa, mencatat masa ketiga terpantas, ketinggalan 0.799 saat di belakang Rosberg.

Sergio Perez di tempat keempat bersama Force India diikuti pelumba Ferrari Sebastian Vettel.

Daniel Ricciardo yang memenangi perlumbaan pada 2014, menduduki tangga keenam dan mengatasi rakan sepasukan Max Verstappen.

Pemandu remaja Perancis Esteban Ocon yang tampil buat kali pertama minggu ini bersama pasukan Manor bagi menggantikan pemandu Indonesia Rio Haryanto, menamatkan sesi di tangga ke-16. Dia bagaimanapun lebih pantas berbanding rakan sepasukannya Pascal Wehrlein yang menduduki tangga ke-19.

Fernando Alonso hanya melengkapkan tiga pusingan tanpa mencatat sebarang masa bersama McLaren dan pasukannya merancang untuk menukar enjin selepas terdapat kebocoran di tangki air.

Beberapa pelumba turut mencuba tayar baru keluaran Pirelli yang direka khas untuk mengelak daripada tersasar.

Hamilton mengatasi Rosberg dengan kelebihan 19 mata di dalam senarai kedudukan pelumba. Hamilton mahu memburu kemenangan ke-50 kariernya minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:05 AM