Dua beradik yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans. - Foto ROSLI ILHAM
Dua beradik yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans. - Foto ROSLI ILHAM
Rosli Ilham

Dungun: Tiga beranak termasuk dua kanak-kanak parah selepas tercampak apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 68.8 Jalan Jerangau-Jabor dekat Kampung Dendang, 2 petang tadi.

Abdul Halim Hafidz Matamin, 31, cedera di kepala dan patah kaki serta tangan manakala anaknya, Abdul Muiz, 9, parah di kepala dan patah kaki. Anak bongsunya, Siti Nur Latheefa, 4, patah kaki kanan.

Tiga beranak yang menunggang motosikal Honda EX5 itu dari Kampung Wa di sini, dalam perjalanan pulang selepas Abdul Halim mengambil mereka dari tabika dan sekolah.

Abdul Halim dikatakan cuba melintas jalan apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki merempuh motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian itu dan kesemua mangsa yang dibawa ke Hospital Dungun dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 9:43 PM