Jenazah pejalan kaki yang maut selepas melambung beberapa meter akibat dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kampung Dendang, Ketereh di sini tengah hari semalam. FOTO IHSAN POLIS
Jenazah pejalan kaki yang maut selepas melambung beberapa meter akibat dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kampung Dendang, Ketereh di sini tengah hari semalam. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Seorang pejalan kaki maut selepas melambung beberapa meter akibat dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kampung Dendang, Ketereh di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 12.50 tengah hari itu mengakibatkan Che Hashiam Hassan, 46, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, MPV jenis Honda Stream yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun itu dari arah Kok Lanas menghala ke Ketereh.

"Setibanya di Kampung Dendang, MPV yang turut dinaiki bapa remaja lelaki itu dipercayai dipandu secara laju hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar mangsa yang berada di bahu jalan.

"Mangsa melambung dan terjatuh di atas jalan, manakala kenderaan itu pula masuk semula ke laluan utama seterusnya memasuki laluan bertentangan lalu terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan sebuah treler yang datang dari Ketereh menghala ke arah Kok Lanas.

"Pejalan kaki yang cedera di kepada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyaan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat, manakala remaja lelaki serta bapanya yang cedera di bahagian dada dan kepala dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:09 PM