Rosli Ilham


Chukai: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang, pagi tadi.

Terdahulu, Jenazah Ammir Hussein Mohamad, 38, serta dua anaknya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein berusia setahun siap dikafankan sebelum dibawa ke Surau Taman Dato Chukai untuk disembahyangkan 12.15 tengah malam.

Ketiga-tiga jenazah terbabit kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman dan selamat dikebumikan di situ, 1.30 pagi tadi.

Majlis pengebumian ketiga-tiga beranak itu dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan dalam suasana pilu dan sedih.

Dalam kemalangan kira-kira 2.05 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dinaiki keluarga itu terbabit dalam kemalangan selepas dirempuh lori yang dipercayai mengalami masalah brek .

Dua lagi ahli keluarga mangsa iaitu, isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang mengandung cedera di bahagian perut dan dirawat di Hospital Kemaman.

Sementara seorang lagi anak angkat mangsa, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, yang parah kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

JENAZAH tiga beranak dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman. FOTO Rosli Ilham
JENAZAH tiga beranak dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 11:44 AM