SEORANG lelaki ditahan anggota APMM kerana didapati sedang melakukan aktiviti pengkapan ikan menggunakan pukat rawa sorong di perairan Perlis. FOTO ihsan APMM
SEORANG lelaki ditahan anggota APMM kerana didapati sedang melakukan aktiviti pengkapan ikan menggunakan pukat rawa sorong di perairan Perlis. FOTO ihsan APMM
Aizat Sharif


Kangar: Seorang tekong sampan yang sedang melakukan aktiviti rawa sorong ditahan oleh anggota peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Utara di Kuala Perlis petang semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Bin Osman berkata, kejadian berlaku pada jam 6.10 petang ketika anggota peronda APMM ternampak seorang lelaki dalam sebuah sampan tanpa nombor pendaftaran sedang melakukan aktiviti rawa sorong pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari Pantai Sungai Baru, Kuala Perlis, disini, semalam.

"Ketika ditahan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan pertengahan 20an itu didapati sedang leka menjalankan aktiviti merawa sorong di kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati sampan terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan lelaki itu pula didapati tiada lesen menangkap ikan yang sah," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harian Metro.

Penahanan terbabit dilakukan hasil daripada maklumat orang awam.

"Sampan terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut dan ini adalah penahanan ketujuh membabitkan sampan rawa sorong pada tahun ini," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Aktiviti rawa sorong adalah kegiatan menangkap ikan yang dilakukan menggunakan sampan serta dua pukat buluh di mana ia menggunakan kaedah mengorek menggunakan buluh sehingga kedalaman setengah meter untuk mendapatkan hasil seperti ikan dan udang.

Di bawah akta berkenaan, pukat rawa sorong diharamkan penggunaanya kerana ia memerangkap atau membunuh anak ikan dan benih udang serta mencemarkan dasar laut dan boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang.

Mereka yang didapati melanggar akta tersebut boleh dikenakan denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 4:40 PM