BOT berkenaan. FOTO Ihsan APMM
BOT berkenaan. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan dua nelayan tempatan yang menaiki sebuah bot pukat rawa sorong untuk cuba melarikan diri ke kawasan pesisir pantai yang lebih cetek bagi menyukarkan pihak berkuasa menghampiri mereka gagal apabila mereka ditahan.

Kedua-dua mereka berusia 30 dan 31 tahun itu ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah yang ketika itu melakukan rondaan Op Aman kerana disyaki melakukan kesalahan menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan di 0.3 batu nautika, pesisir pantai Kuala Kangkong, pada 10.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebaik menyedari kehadiran bot ronda APMM, dua nelayan itu bertindak melarikan diri.

Namun katanya, bot mereka dipintas dan ditahan selepas bot APMM mengejar bot dinaikit mereka hampir 15 minit di pesisir pantai.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemui dua batang buluh dan sebidang pukat serta sejumlah hasil tangkapan udang segar yang dianggarkan lapan kilogram bernilai RM280.

"Berikutan itu, hasil tangkapan dan peralatan bersama bot berserta sebuah enjin yang diubah suai daripada enjin kereta jenama tempatan it dirampas.

"Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM22,280 itu kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 10:05 AM