Nelayan tempatan yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong nekad terjun laut bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Perikanan Malaysia menyebabkan botnya disita manakala hasil tangkapan dirampas. FOTO ihsan Jabatan Perikanan.
Nelayan tempatan yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong nekad terjun laut bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Perikanan Malaysia menyebabkan botnya disita manakala hasil tangkapan dirampas. FOTO ihsan Jabatan Perikanan.
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG nelayan tempatan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Perikanan Malaysia, hari ini.

Bot berkenaan dikesan menangkap ikan 185 meter dari Pantai Pulau Pasir Hitam dekat Taiping pada 7.30 pagi.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe, berkata bot berkenaan dikesan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Kampung Acheh ketika menjalankan rondaan di perairan Sungai Panchor di Pantai Remis.

“Bot berkenaan dipercayai sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong, namun sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, suspek terus terjun ke dalam laut.

“Suspek meninggalkan bot berkenaan untuk melarikan diri ke paya bakau berhampiran bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan disita untuk tindakan lanjut dan pihaknya turut merampas 10 kilogram udang yang ditinggalkan dalam bot itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

“Aktiviti pukat rawa sorong adalah kegiatan menangkap ikan dilakukan menggunakan sampan serta dua pukat buluh dan ia menggunakan kaedah mengorek menggunakan buluh sehingga kedalaman setengah meter untuk mendapatkan hasil seperti ikan dan udang.

“Pukat rawa sorong diharamkan penggunaannya kerana ia memerangkap atau membunuh anak ikan dan benih udang serta mencemarkan dasar laut selain boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:55 PM