Bot nelayan yang dirampas di Yan. - Foto APMM Kedah
Bot nelayan yang dirampas di Yan. - Foto APMM Kedah
Aizat Sharif


SEORANG nelayan yang menangkap ikan menggunakan bot pukat rawa sorong terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai sejauh 1.3 batu nautika di Yan semalam, bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah.

Kejadian berlaku sekitar 5.30 pagi, ketika anggota APMM yang melakukan rondaan sekitar perairan Yan mengesan bot nelayan itu.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan, nelayan itu sedang leka memukat ikan menggunakan pukat rawa sorong yang dilarang penggunaannya di negara ini.

"Sebaik menyedari kehadiran bot penguatkuasa, nelayan berkenan cuba melarikan diri dengan membawa botnya ke kawasan cetek.

"Dia kemudian terjun ke dalam laut sebelum berenang ke pantai," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu berjaya naik ke darat namun bot berserta peralatan menangkap ikannya dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 5:04 PM