Bot pukat tunda kelas (C) yang ditahan kerana menangkap ikan di luar zon dibenarkan di perairan pantai Kuala Sanglang, Kangar, pada jam 4.30 pagi semalam. FOTO ihsan APMM
Bot pukat tunda kelas (C) yang ditahan kerana menangkap ikan di luar zon dibenarkan di perairan pantai Kuala Sanglang, Kangar, pada jam 4.30 pagi semalam. FOTO ihsan APMM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda kelas (C) kerana menangkap ikan di luar zon dibenarkan di perairan pantai Kuala Sanglang, Kangar, pada 4.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Osman berkata, lima awak-awak warga Thailand termasuk seorang tekong berusia antara 31 hingga 72 tahun ditahan hasil maklumat daripada orang awam.

Menurut beliau semua nelayan terbabit memiliki dokumen perjalanan yang sah selain pemeriksaan bot berkenaan memiliki lesen menangkap ikan di Zon (C).

"Ketika bot peronda APMM menghampiri, bot terbabit sedang rancak menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak 5.3 batu nautika dari Pantai Sanglang.

"Apabila diperiksa bot terbabit gagal mengemukakan lesen menangkap ikan Zon (A) tetapi dilesenkan untuk menangkap ikan di Zon (C) iaitu 12 batu ke atas,"katanya.

Menurut Mohd Azlan, bot terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes terbabit disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:58 PM