EMPAT nelayan yang diperiksa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang ketika melakukan pemantauan. FOTO ihsan APMM
EMPAT nelayan yang diperiksa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang ketika melakukan pemantauan. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


DUA bot bersama empat nelayan tempatan ditahan di kedudukan 1.3 dan 1.4 batu nautika Barat Laut Tanjung Dawai, di Georgetown kerana dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen.

Nelayan terbabit ditahan sepasukan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang menjalankan pemantauan di perairan negeri, hari ini.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kapten Hamizan Harun berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua tekong dan dua awak-awak berusia antara 35 hingga 52 tahun.

Katanya, mereka didapati berada di atas bot yang tidak bernombor ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

"Mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen.

"Nelayan bersama dua bot, dua unit pukat rawa sorong dan 80 kilogram ikan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut," katanya, hari ini.

Untuk rekod, pukat rawa sorong diharamkan penggunaannya kerana selain menyalahi undang-undang, ia juga mengancam pembiakan hidupan laut serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

Orang awam boleh melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 3:05 PM