ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Selepas dua hari hilang, seorang lelaki ditemui lemas di sungai Kelantan berhampiran Rumah Pam Kemubu Kada, Ketereh, kira-kira jam 7.54 pagi, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata, mangsa, Mohd Zaini Harun, 30-an ditemui 400 meter dari lokasi dia terjatuh.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, penduduk kampung memaklumkan ada objek terapung sebelum pasukan mencari dan menyelamat membawa mangsa naik ke darat.

"Kita serahkan mangsa kepada polis dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga" katanya di sini, hari ini.

Harian Metro melaporkan, mangsa bersama dua rakannya Mohd Ridzuan Mat Ali, 32, dan Mohd Sukri Zailani Mat Ali, 30, ke sungai itu untuk memancing sebelum bot dinaiki mereka terperangkap di tengah sungai.

Dua rakannya itu berjaya diselamatkan anggota penyelamat pada 12.40 tengah malam, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 9:44 AM