ANAK arwah, Siti Nor Zullaikha menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya sambil  disaksikan adiknya, Mohd Faizal (kiri) dan Mohd Fakrullah  8, (dua dari kiri).
ANAK arwah, Siti Nor Zullaikha menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya sambil disaksikan adiknya, Mohd Faizal (kiri) dan Mohd Fakrullah 8, (dua dari kiri).

Machang: Emosinya sudah terganggu sejak melahirkan bayi ketujuh kelmarin dan semalam, jiwanya sekali lagi terusik apabila dimaklumkan mayat suami tercinta ditemui terapung dalam Sungai Kelantan dekat Rumah Pam Kemubu KADA, Kota Bharu, jam 7.54 pagi.

Mayat Mohd Zaini Harun, 38, timbul selepas hampir 48 jam hilang sebaik bot memancing dinaiki bersama-sama dua rakan terperangkap di tengah sungai kerana air pasang, Sabtu lalu.

Kini Pattuma Wan Hassan, 32, yang baru dua hari menjalani proses berpantang tidak lagi seperti ibu lain apabila terpaksa mengurus semua keperluan keluarga sendirian tanpa suami tercinta.

Dulu, setiap kali melahirkan anak, Mohd Zaini akan memainkan peranan menjaganya dan anak selain mencarikan nama sesuai buat zuriat mereka.

“Sudah jadi amalan arwah suami dan dia sentiasa mempunyai nama pilihannya tersendiri untuk setiap anak manakala saya hanya bersetuju dengan pilihan itu kerana setiap satu ada maksud indah.

“Kali ini semuanya berbeza. Saya memang sedih apabila dia tidak sempat memilih nama untuk bayi ini. Nama yang ada gabungan kami berdua. Saya tak tahu apa perlu diletakkan (nama bayinya).

“Saya serahkan kepada keluarga sahaja untuk memilih nama sesuai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerawang, di sini, semalam.

Pattuma yang melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira jam 10 pagi kelmarin di Hospital Machang dibenarkan keluar semalam dan menunggu jenazah suaminya di rumah untuk disemadikan selepas asar di tanah perkuburan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 6:57 AM