KEADAAN sungai yang keruh dan deras menyukarkan pihak bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEADAAN sungai yang keruh dan deras menyukarkan pihak bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai dekat Rumah Pam Kemubu Kada, di sini, malam tadi masih belum menemui sebarang petunjuk.

Operasi diteruskan mulai 8.30 pagi tadi membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh termasuk tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Bin Mat Zin berkata, pihaknya berdepan beberapa kesulitan untuk meneruskan operasi.

"Disebabkan pengkalan pasir yang sudah berubah akibat arus deras malam tadi, bot penyelamat sukar diturunkan.

"Air sungai juga keruh mengehadkan penglihatan penyelam kita dan lokasi dipercayai tempat mangsa terjatuh pula berhampiran rumah pam, jadi pencarian perlu lebih berhati-hati," katanya di sini, hari ini.

Mangsa dikenali Zaini Harun, 30-an hilang di sungai itu selepas terjatuh ketika bot dinaiki bersama dua rakan terperangkap di tengah sungai akibat air pasang besar, kira-kira 9 malam tadi.

Dua rakannya, Mohd Riduan Mat Ali, 36, dan adiknya Mohd Sukri Zailani, 32, berjaya diselamatkan anggota penyelamat pada 12.40 tengah malam.

Ketiga-tiganya ke sungai itu untuk memancing ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 12:35 PM