Kuching: Memegang status sebagai atlet kebangsaan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada atlet wusyu Melaka Tan Cheong Min (gambar) namun emas yang diraih dalam disiplin Nanquan di SUKMA Sarawak semalam sedikit melegakannya.

Cheong Min sekarang berada pada kedudukan terbaik untuk mengulangi pencapaian SUKMA Perlis dua tahun lalu selepas beraksi cemerlang di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua 3 dengan meraih mata tertinggi 9.42.

Menurut atlet kelahiran Cheng itu, dia akan berasa lebih gembira jika berjaya menjadi atlet pertama menyumbang emas kontinjen Melaka.

“Saya berjanji akan terus memberikan persembahan terbaik dalam dua lagi baki acara iaitu Nangun dan Nandao bagi mengulangi dan mempertahankan tiga emas yang dimenangi dua tahun lalu di Perlis,” kata pelajar Universiti Asia Pasifik itu.

Jelasnya, sebagai atlet kebangsaan, tekanan memang ada di dalam diri namun emas pertama yang diraih semalam sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan, seterusnya mampu fokus dalam acara lain selepas ini.

“Saya berasa gembira dan akan terus mempertingkatkan prestasi untuk acara Nangun esok (hari ini) dan Nandao (Isnin ini),” katanya yang sudah empat tahun menjadi atlet kebangsaan.

Dalam pada itu, Cheong Min juga mengaku bahawa latihan di China bersama atlet kebangsaan yang lain banyak membantunya untuk memberikan persembahan cemerlang kerana tidak perlu memberi tumpuan kepada pelajaran.

Perak dalam acara berkenaan turut diraih atlet Melaka Ong Jia Yee yang mencatat mata 9.17, manakala Wong She Hui dari Pahang mengumpul 8.97 mata untuk membawa pulang gangsa.

Sementara itu juara dunia, Chan Yu Li berjaya menghadiahkan emas kepada kontinjen Pulau Pinang dalam acara Taijiquan wanita manakala Calvin Lee dari Negeri Sembilan muncul juara Nanquan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:13 AM