CHEONG  Min muncul atlet Malaysia pertama merangkul dua pingat emas di Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama
CHEONG Min muncul atlet Malaysia pertama merangkul dua pingat emas di Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama

Phnom Penh: Pencapaian sangat menggembirakan buat atlet wushu negara, Tan Cheong Min apabila menghadiahkan dua pingat emas kepada kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja.

Kejayaan itu meniup semangat Cheong Min yang juga juara dunia untuk mengekalkan persembahan terbaik seterusnya menghadiahkan emas sekali lagi di Sukan Asia Hangzhou September ini.

Atlet kelahiran Melaka itu juga menjadi atlet pertama negara menghadiahkan emas berganda di Sukan Sea selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam acara gabungan nandao dan nangun wanita di Dewan Konvensyen Chroy Changvar A, hari ini selepas meraih emas pertamanya dalam acara nanquan wanita Rabu lalu.

Cheong Min memperoleh 9.65 untuk rutinnya dalam nandao dan menamatkan dengan jumlah keseluruhan 19.16 mata manakala peserta Vietnam, Phan Thi Thu Binh meraih perak (18.41) dan atlet Myanmar, Aye Thitsar Myint mendapat gangsa (18.30).

"Saya gementar dan teruja selepas memenangi emas Sukan Sea pertama saya di sini Rabu lalu. Selepas itu saya rasa saya mahu menang satu lagi pingat emas tapi saya perlu melakukan dengan lebih baik lagi di gelanggang.

"Saya menukar beberapa kombinasi pergerakan, kesukarannya hampir sama dengan prestasi saya semasa Kejohanan Dunia 2017 dan 2019.

"Saya tidak mahu mengubah tahap kesukaran kerana saya mahu menjadi lebih baik untuk bertarung di Sukan Asia nanti. Berdasarkan keputusan di Sukan Sea ini, ia mampu untuk menjadi pemangkin semangat kepada saya di Sukan Asia nanti," katanya.

Atlet kelahiran Melaka itu berkata, pingat emas Sukan Sea masih mempunyai nilai istimewa walaupun sudah memenangi pingat di Kejohanan Dunia Wushu.

"Pingat emas ini sangat berharga bagi saya kerana acara saya tidak dipertandingkan di Sukan Sea sebelum ini. Saya memenangi pingat emas kejohanan dunia dalam acara nandao tetapi dalam Sukan Sea saya mendapat emas daripada nangquan dan acara gabungan nangun-nandao.

"Tapi kalau nangun-nandao dipisahkan saya mungkin boleh menang tiga emas, tapi dua emas ini pun saya rasa berbaloi dengan kerja keras yang saya lakukan.

"Saya sangat gembira kerana sudah menunggu empat tahun untuk beraksi di Sukan Sea dan kini saya mendapat pingat emas.

"Penyertaan pertama saya di kejohanan temasya seperti ini adalah ketika di Sukan Asia 2018 yang mana saya melakukan kesilapan dan terlepas podium.

"Ini penyertaan kedua saya bersama kontinjen negara dan saya gembira dapat menyumbangkan emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 5:08 PM