CALVIN (empat dari kiri) Cheong Min (tiga dari kiri) bersama kontinjen wushu negara di Uniersiade Taipei 2017.
CALVIN (empat dari kiri) Cheong Min (tiga dari kiri) bersama kontinjen wushu negara di Uniersiade Taipei 2017.
HM Digital

Taipei: Wushu menutup tirai aksi di Universiade dengan menambah dua lagi pingat perak menerusi acara Nanquan dan Nangun lelaki serta Nanquan dan Nandao wanita, semalam.

Biarpun tanpa atlet China menerusi acara Nanquan dan Nangun tetapi wakil tuan rumah pula yang menjadi penghalang kepada Calvin Wai Leon Lee untuk merangkul emas.

Calvin yang mendapat 9.38 mata pada aksi Nangun beraksi baik untuk mendapat 9.47 mata menerusi Nanquan.

Bagaimanapun, atlet Chinese Taipei, Hou Kai-Kuei yang sebelum itu berbekalkan mata tertinggi Nangun dengan 9.62, berjaya menduduki tangga teratas meskipun mengumpul jumlah yang lebih rendah, 9.56 mata.

Calvin terpaksa berpuashati dengan perak sambil gangsa dimenangi Yoshitaka Asagawa dari Jepun.

Kelibat atlet wushu China dalam acara Nanquan dan Nandao pula meranapkan impian Malaysia untuk mencatat sejarah memenangi emas pada acara wushu yang kali pertama dipertandingkan di Universiade.

Lai Liuyan dengan 9.58 mata menduduki tangga pertama kategori Nandao dan melakar 9.46 untuk turut memenangi emas Nanquan.

Atlet Malaysia, Tan Cheong Min memungut 9.30 mata untuk menyumbang perak kedua kontinjen Malaysia manakala gangsa dirangkul atlet Iran, Fatemah Heidari.

“Syukur dan dan saya berbangga dengan pencapaian ini sekali gus wushu menjadi sukan yang berjaya membantu pencapaian pingat kontinjen negara di Universiade serta pencapaian terbaik negara kali ini,” kata pengurus wushu, Sharel Rizel Dzahari.

Pencapaian dua perak dan satu gangsa oleh kontinjen wushu di Universiade Taipei dianggap pelengkap pencapaian terbaik Malaysia di Universiade sejak penyertaan 2005 di Almaty, Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:14 AM