Phnom Penh: Atlet wushu negara, Tan Cheong Min membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila merangkul pingat emas keduanya di temasya Sukan Sea Kemboja.

Juara dunia yang membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea itu berjaya membuat persembahan memukau untuk meraih emas dalam acara gabungan Nangun dan Nandao wanita.

Selepas mendahului acara Nangun semalam, rentaknya terus konsisten apabila mengungguli acara Nandao di Dewan Konvensyen Chroy Changvar A.

Atlet berasal dari Melaka itu sebelum ini menyumbang emas pertamanya dalam acara Nanquan, Rabu lalu.

Dia menjadi atlet pertama negara yang berjaya merangkul dua emas di temasya Sukan Sea kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:15 PM