PEMAIN Harimau Malaya sedia harungi cabaran di Stadium My Dinh.
PEMAIN Harimau Malaya sedia harungi cabaran di Stadium My Dinh.

Hanoi: Kapten Vietnam Le Cong Vinh percaya mereka akan tampil lebih hebat di depan penyokong sendiri apabila turun menentang Harimau Malaya hari ini.

Penyerang berusia 29 tahun itu berkata, sokongan padu 40,000 penyokong yang bakal memenuhi stadium bakal menjadi faktor penting menentukan kemaraan mereka ke final buat kali ketiga selepas muncul juara pada 2008.

“Kami perlu bermain mengikut perancangan dan saya percaya Malaysia mahu bangkit, tapi kami beraksi di depan penyokong sendiri. Itu pasti akan menjadi kelebihan buat kami,” kata Cong Vinh yang sudah meledak dua gol setakat ini.

Pemain kelab Becamex Binh Duong FC itu pasti menjadi sandaran jurulatih Toshiya Miura untuk merobek gawang Malaysia bersama gandingannya Nguyen Van Quyet seperti dilakukan ketika menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Shah Alam, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Cong Vinh turut menyeru penyokong menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan tidak melakukan sebarang kekecohan pada perlawanan hari ini.

Sebelum ini, ada peminat Vietnam dikatakan mengancam penyokong Malaysia di laman media sosial sebagai membalas dendam insiden pergaduhan di Shah Alam.

“Saya percaya peminat Vietnam mengalu-alukan kedatangan penyokong Malaysia dan tidak akan membuat sebarang kekecohan.

“Jika tiada keganasan berlaku sudah pasti kemenangan lebih bermakna,” kata Cong Vinh yang dipetik dalam laporan www.thanhniennews.com semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:55 AM