CONG Vinh (tengah) berada pada prestasi terbaik untuk bertemu Malaysia.
CONG Vinh (tengah) berada pada prestasi terbaik untuk bertemu Malaysia.

Kuala Lumpur: Penggempur utama Vietnam, Le Cong Vinh melaungkan amaran sudah cukup bersedia untuk merobek gawang Harimau Malaya pada pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pemain berusia 28 tahun itu kini mengumpul dua gol, berkongsi jaringan bersama Vu Minh Tuan selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan, namun rakan sepasukannya itu tidak dapat diturunkan kerana digantung satu perlawanan.

Ketiadaan Minh Tuan pastinya memberi lebih bebanan kepada Cong Vinh untuk mendapatkan gol sebagai bekalan sebelum perlawanan kedua di Hanoi pada 11 Disember ini.

“Saya berada dalam prestasi baik ketika ini. Selepas menjaringkan dua gol di peringkat kumpulan, saya lebih yakin bermain di pentas antarabangsa,” kata pemain kelab Binh Duong, Liga V itu dalam laman web www.aseanfootball.org semalam.

“Saya percaya boleh bermain lebih baik pada separuh akhir nanti. Aksi menentang Malaysia memang sukar, tapi saya sudah tidak sabar beraksi,” katanya.

Vietnam, juara 2008 pasti berkeyakinan tinggi untuk membenam skuad Dollah Salleh selepas melakar kemenangan 3-1 pada aksi persahabatan di Hanoi pada 16 November lalu.

Malah, Vietnam yang dibimbing jurulatih Jepun Toshiya Miura tampil melalui rekod hebat apabila muncul juara Kumpulan A menerusi kemenangan ke atas Filipina 3-1, Laos 3-0 dan seri 2-2 dengan Indonesia.

Sementara itu, Miura dalam laman web www.affsuzukicup.com semalam turut menyatakan rasa yakin untuk mencapai kemenangan walaupun ketiadaan Minh Tuan di Shah Alam.

Minh Tuan mengutip kad kuning kedua pada saingan peringkat kumpulan selepas menjaringkan gol pada perlawanan terakhir menentang Filipina Jumaat lalu.

“Dia menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan, tapi kami mempunyai pemain yang boleh menggantikan tempatnya,” kata pengendali Vietnam itu.

Pertemuan dengan Malaysia kali ini menyediakan peluang terbaik buat Vietnam menebus kekecewaan di separuh akhir Piala AFF 2010 selepas tersingkir menerusi agregat 2-0 kepada Harimau Malaya yang muncul juara mengalahkan Indonesia 4-2 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:12 AM