Kelana Jaya: “Kami tidak rela sejarah 2010 berulang,” kata kapten Vietnam Le Tan Tai menjelang pertembungan separuh akhir Piala AFF 2014 dengan Harimau Malaya di Stadium Shah Alam esok.

Pemain tengah itu tonggak pasukan Vietnam ketika muncul juara 2008, namun impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian lebur di tangan Malaysia di separuh akhir menerusi agregat 2-0.

Tan Tai, 30, antara pemain senior yang dikekalkan dalam skuad kendalian Toshiya Miura itu percaya mereka mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan, namun tetap berwaspada dengan ancaman pasukan tuan rumah.

“Saya percaya prestasi Malaysia semakin bagus daripada perlawanan ke satu perlawanan. Mereka pasukan yang kuat.

“Apapun, semangat kami dalam keadaan terbaik dan jika boleh, kami mahu menebus kekecewaan edisi 2010,” kata bintang kelab Becamex Binh Duong itu pada sidang media semalam.

Bagaimanapun Vietnam yang mara ke separuh akhir atas tiket juara Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah mendapat sedikit bekalan moral menjelang pertemuan esok apabila mereka menewaskan Malaysia 3-1 pada aksi persahabatan di Hanoi 16 November lalu.

Tapi Tan Tai percaya mereka boleh mendapat keputusan positif menjelang perlawanan timbal balik di Hanoi pada 11 Disember jika berjaya merantai pergerakan penyerang Harimau Malaya Mohd Safee Sali dan Safiq Rahim.

“Nombor 10 (Safee) begitu tajam dalam kawasan kotak penalti, begitu juga dengan nombor 8 (Safiq). Mereka mampu mengecewakan Vietnam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:02 AM