VAN Quyet (kiri) jadi ancaman Malaysia.
VAN Quyet (kiri) jadi ancaman Malaysia.

Yangon: Jika kelmarin benteng pertahanan Harimau Malaysia porak-peranda disebabkan penyerang muda Kemboja Chan Vathanaka, mereka akan berdepan pemain lebih hebat apabila bertemu Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna, esok.

Penyerang berpengalaman Vietnam Le Cong Vinh dijangka menjadi masalah utama buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila membuktikan ketajamannya dengan menghasilkan gol kemenangan 2-1 ke atas Myanmar kelmarin.

Jaringan itu adalah yang ke-50 di pentas antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya.

Bagaimanapun Cong Vinh yang juga kapten Vietnam tidak mahu memandang mudah keupayaan Malaysia yang pernah menyingkirkan mereka menerusi agregat 5-4 pada separuh akhir 2014.

“Saya tak boleh jamin menjaringkan gol menentang Malaysia tapi itu sememangnya tugas saya.

“Memang saya pernah menjaringkan gol sebelum ini (menentang Malaysia) tapi kami tak boleh menjangkakan apa-apa,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan Vietnam semalam.

Cong Vinh, 30, dijangka bergandingan dengan Nguyen Van Quyet yang turut memiliki rekod baik menyumbat enam gol tahun ini.

Dia bagaimanapun menyuarakan rasa bimbang kerana bermain dalam cuaca panas esok pasti menyukarkan mereka.

“Bermain dalam cuaca panas bukan mudah tapi kami sudah mengadakan latihan awal sebelum ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:11 AM