Sepang: Keperitan menyaksikan pasukannya disingkirkan Malaysia empat tahun lalu mahu ditebus penyerang sensasi Vietnam, Le Cong Vinh.

Malaysia menamatkan perjalanan juara 2008 itu dalam aksi separuh akhir pada edisi 2010.

“Sudah pasti saya harap mampu mengulangi kejayaan 2008. Kami tewas kepada Malaysia pada 2010 dengan saya tersisih kerana kecederaan.

“Saya hanya menonton perlawanan itu di televisyen, sangat sedih jika mengenangkan kekalahan itu. Namun kali ini saya bertuah kerana bertemu Malaysia pada peringkat sama.

“Saya harap kami mampu beraksi dengan baik walaupun sedar sukar di tempat lawan. Saingan separuh akhir kedua di Hanoi pasti berbeza apabila beraksi di laman sendiri,” katanya.

Penyerang berusia 28 tahun yang sudah meledak dua gol dalam aksi peringkat kumpulan itu turut melabelkan skuad 2014 lebih bagus berbanding skuad juara Piala AFF 2008.

“(Toshiya) Miura seorang jurulatih yang bagus. Beliau banyak mengetengahkan pemain muda dan tindakan itu bagus untuk pasukan.

“Kami sering bertukar jurulatih dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Tindakan itu kurang bagus untuk kami kerana setiap jurulatih mempunyai pendekatan dan taktik berbeza. Namun kini saya lebih yakin dengan Miura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:32 AM