PELUMBA KGTWIL sedia beri saingan.
PELUMBA KGTWIL sedia beri saingan.
Omar Osman


Sungai Petani: Kelab Gerek TWI Langkawi (KGTWIL) mahu melakukan kejutan dan memastikan pelumbanya tidak menghuni tangga tercorot saingan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 di Kulim Hi-Tech Park, pada 30 Julai ini.

Jurucakapnya, Norafendi Nordin berkata, biarpun kali pertama menyertai pertandingan besar dalam sukan basikal lasak, semua ahli kelabnya tidak gentar bersaing dengan pelumba lebih hebat dan berpengalaman, malah yakin mampu melakukan sesuatu di luar dugaan.

Katanya, KGTWIL ditubuhkan pada 2014 dan mempunyai lebih 50 ahli berusia antara 14 hingga 50 tahun yang kali pertama menyertai Harian Metro MTB.

“Sebagai persediaan menghadapi Harian Metro MTB di Kulim, KGTWIL menjalani latihan setiap hari di trek sekitar Langkawi. Latihan bukan saja tertumpu kepada kayuhan trek berbukit dan sukar, malah usaha memantapkan kekuatan mental dan fizikal turut diadakan.

“Dari segi pengalaman, memang pelumba KGTWIL masih kekurangan, apatah lagi kelab ini baru dua tahun ditubuhkan dan tidak banyak kejohanan disertai, namun kami tetap mahu kehadiran kami dalam sirkit Harian Metro MTB ini tidak boleh dipandang remeh.

“Kami yakin semua pelumba mempunyai peluang sama rata, sama ada berpengalaman atau tidak kerana apa yang penting semangat juang tinggi serta kebolehan mengatasi cabaran pada hari pertandingan nanti,” katanya.

Katanya, bagi saingan kali ini, 15 pelumba KGTWIL akan membawa cabaran kelab selain berusaha sebaik mungkin.

“Penyertaan KGTWIL dalam MTB ini sekadar mencuba nasib selain menjadi medan pelumba kelab mempamer bakat dan kebolehan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:54 AM