PESERTA kategori XC Race memulakan saingan di kawasan jalan raya sebelum memasuki laluan off-road bagi saingan sebenar.
PESERTA kategori XC Race memulakan saingan di kawasan jalan raya sebelum memasuki laluan off-road bagi saingan sebenar.
PESERTA bagi kategori XC Race bersaing selepas perlepasan di Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan bagi menerusi cabaran.
PESERTA bagi kategori XC Race bersaing selepas perlepasan di Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan bagi menerusi cabaran.
KATEGORI XC Race membabitkan peserta tempatan dan luar negara bersaing hebat bagi menentukan juara.
KATEGORI XC Race membabitkan peserta tempatan dan luar negara bersaing hebat bagi menentukan juara.
PESERTA wanita tidak ketinggalan bersaing dalam kategori Metro Open di Asahan.
PESERTA wanita tidak ketinggalan bersaing dalam kategori Metro Open di Asahan.
Oleh Norfaisal Jahuri

Merentasi 27 laluan membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor serta Negeri Sembilan menjadikan sirkit keempat Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan antara paling unik dan menarik dalam memberi cabaran kepada peserta.

Membabitkan laluan sejauh 45 kilometer (km) bagi kategori XC Race dan Terbuka Metro (40 km) peserta bersaing di bawah kaki Gunung Ledang yang menjadi pilihan untuk sirkit kali ini lengkap dengan pelbagai cabaran seperti pendakian dan menuruni bukit, laluan berbatu, hutan, berair, berlumpur dan single trail yang membuatkan peserta me-ngeluh mengharungi cabaran itu.

Kebanyakan peserta meletakkan trek bagi kejohanan kali ini 10/10 lengkap dengan pakej cabaran dan pemandangan paling indah berbanding kejohanan yang dianjurkan sebelum ini.

Kejohanan julung kali diadakan di Melaka itu bermula dan tamat di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Acara disertai seramai 1,300 peserta membabitkan peminat sukan berbasikal lasak tempatan serta dari Thailand, Singapura, Australia, Scotland, New Zealand dan Turki.

Peserta dilepaskan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri Datuk Ng Choon Koon bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Datuk Mustapa Omar, Timbalannya yang juga Pengerusi MTB Abdul Ghafar Ismail; Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof; Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim dan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin Osman Latiff.

Mohamed Fauzan Ahmad Lutfi dari SBS Giant Racing Team mengungguli kategori Elite XC, Praset Chitmart dari Chiru Endurace Thailand (Master XC), Supuksorn Nuntana dari Chiru Endurace Thailand (Wanita XC) dan Muhammad Suhaimi Ghani dari Cyclomotion (Remaja XC).

Mohd Zukri Tahir dari Polygon Malaysia memenangi kategori Terbuka Elit, Ma Wong Ee dari TK Batu Pahat (Master), Nur Fatin Afisya Hamzah dari Amaniz Cycling Team (Wanita) dan Muhammad Ayub Mohd Radzi dari SBS Giant Racing Team (Remaja).

Mohamed Fauzan dan pelumba Thailand Supuksorn masing-masing muncul sebagai juara untuk kali kedua selepas mengungguli sirkit ketiga dalam kategori sama di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Oktober lalu.

Sementara itu mengulas mengenai sirkit keempat kejohanan ini bekas pelumba MTB negara Muhammad Aris Che Awang berkata, kawasan Asahan bukan saja dijadikan tempat kejohanan berbasikal lasak, malah boleh menjadi lokasi latihan bagi penunggang profesional.

Katanya, laluan di Asahan sesuai untuk latihan kerana trail mencabar serta serba lengkap di samping mempunyai pemandangan cantik dan jauh dari pembangunan.

"Bagi saya sebagai penunggang profesional, Asahan adalah tempat yang sangat sesuai untuk dijadikan tempat persiapan bagi mana-mana pelumba MTB menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Lokasi ini mirip dengan banyak lokasi di luar negara seperti di Thailand, China dan Mongolia. Sekiranya pelumba mahu ke sana mereka boleh berlatih terlebih dulu di sini," ujarnya yang turut menambah Asahan masih belum tercemar dan mempunyai udara bersih.

Muhammad Aris berkata, Asahan adalah lokasi sebenar bagi sukan MTB, kerana muka buminya yang sangat sesuai bagi aktiviti berkenaan.

Pengurus Pasukan Polygon Malaysia Racing Team (PMRT) itu berkata, dia turut menyertai kejohanan MTB ini datang seminggu lebih awal ke lokasi itu bagi menguji sendiri tempat itu yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

"Saya tidak pernah sampai ke Asahan dan sebab itu saya mahu tiba awal. Apabila mencuba trek yang sudah dikenalpasti itu saya terkejut melalui cabaran yang perlu ditempuh kerana ia datang dalam satu pakej amat bersesuaian untuk MTB.

"Pemandangan di sini sangat menakjubkan. Saya sudah menyertai semua siri kejohanan MTB anjuran Harian Metro sejak awal lagi dan lokasi ini (Asahan) antara yang paling menarik," katanya.

Dalam pada itu Perunding Teknikal D Wish Managment Muhd Sanusi Kamarul Azhar berkata, selama sebulan pasukannya berkampung di Asahan bagi menyediakan trek bagi kejohanan itu dan dia menganggap lokasi yang dipilih penganjur ini paling menarik dan memenuhi speksfikasi yang diperlukan bagi perlumbaan MTB.

Katanya, dari sudut teknikal trek di Asahan paling lengkap dengan cabaran yang diperlukan bagi menguji kemahiran peserta, selain datang dengan pakej kawasan paling cantik antara semua lokasi kejohanan sebelum ini.

"Asahan adalah lokasi antara paling mudah untuk mendapatkan kerjasama sama ada penduduk dan pihak berkuasa. Tiada masalah dihadapi sejak hari pertama kami menjalankan tugas, penduduknya sangat peramah serta memahami tujuan kami melalui tanah milik mereka bagi dijadikan trek perlumbaan.

"Kami juga terharu dengan kerjasama diberikan penduduk yang menjadi sukarelawan dalam membantu kami menyediakan trek perlumbaan. Mereka memberikan kerjasama dan sangat komited menjalankan tugas sehinggalah selesai kejohanan ini," katanya.

Muhd Sanusi berkata, trek berkenaan sangat menarik, walaupun bukanlah lokasi kejohanan pertama dibuat di bawah kaki gunung, namun ia sangat berbeza kerana terdapat tasik yang berlatar belakangkan Gunung Ledang, selain kebanyakan trek dilalui memperlihatkan keindahan pergunungan itu.

"Laluan ini juga menarik kerana turut membabitkan sudut pertemuan tiga negeri dan peserta turut melalui kawasan air terjun serta membabitkan laluan sempadan negeri yang paling banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:03 AM