PASUKAN Selambau Cyclers bakal memberi cabaran di   MTB Kulim.
PASUKAN Selambau Cyclers bakal memberi cabaran di MTB Kulim.

Sungai Petani: Gabungan pelumba muda dan veteran yang memiliki kemahiran meredah laluan sukar mampu memberi kelebihan kepada Selambau Cyclers dalam memeriahkan saingan sukan basikal lasak Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Utara 2016 yang bakal diadakan di Kulim pada 30 Julai ini.

Biarpun berusia setahun jagung, pasukan yang ditubuh pada 2014 itu memiliki pelumba berbakat dan berpengalaman kerana kebanyakan mereka pernah menyertai kelab basikal lain sebelum ini tetapi mengambil keputusan bersatu di bawah Selambau Cyclers.

Jurucakapnya Mazlan Osman, 46, berkata Selambau Cyclers mempunyai lebih 30 ahli berusia antara 28 hingga 51 tahun dan berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan basikal lasak sekitar Zon Utara termasuk sirkit Harian Metro MTB yang diadakan sebelum ini.

Katanya, untuk saingan HM MTB GP di utara kali ini, Selambau Cyclers bakal menampilkan seramai 15 pelumba dalam kategori terbuka dan veteran antaranya Zulfadli Yussof, Zaidi Adam, Roshidan Ismail dan Md Noor Zainuddin yang bakal memberi saingan sengit kepada pelumba lain.

“Zulfadli dan Adam bakal memberi saingan dalam kategori terbuka, manakala Roshidan serta Md Noor pula dalam kategori veteran. Berdasarkan pengalaman empat pelumba yang pernah menyertai pelbagai perlumbaan sebelum ini, mereka mampu menyaingi kehebatan pelumba lain.

“Pada masa sama kita juga mempunyai beberapa pelumba berbakat lain untuk bersaing dalam HM MTB GP Utara tahun ini, selain itu trek Kulim Hi Tech yang akan menjadi tapak pertandingan juga tidak asing buat Selambau Cyclers sekali gus memberi sedikit kelebihan buat kami.

“Namun, kami sedar terdapat ramai pelumba berpengalaman dan lebih kuat, maka sudah pasti saingan sengit akan dihadapi Selambau Cyclers pada sirkit kali ini, tetapi kami akan mencuba sebaik mungkin bagi menyaingi kehebatan pelumba lain,” katanya.

Katanya, mereka juga berharap dapat memperbaiki pencapaian dalam perlumbaan sebelum ini, dan jika boleh mahu berada dalam kelompok 20 terbaik dalam saingan HM MTB GP Utara kali ini dan sasaran berkenaan tidak mustahil mampu dicapai.

“Kehadiran sirkit HM MTB sentiasa ditunggu-tunggu, bukan sahaja di kalangan pelumba Selambau Cyclers, malah juga daripada kelab lain. Ini kerana ianya mempunyai daya tarikan tersendiri menyebabkan kami tidak mahu ketinggalan menyertainya sebagai tanda sokongan kepada Harian Metro.

“HM MTB kali ini juga lebih istimewa buat saya kerana tarikh berkenan jatuh pada tarikh ulang tahun kelahiran ke-46 pada 30 Julai depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:40 AM