TGR enggan terlalu yakin.
TGR enggan terlalu yakin.
Omar Osman


Sungai Petani: Biarpun berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan, namun Tasek Gelugor Riders (TGR) tidak meletak sebarang sasaran dalam cabaran sukan basikal lasak Harian Metro MTB Grand Prix 2016 Sirkit 1 yang bakal diadakan di Kulim Hi-Tech Park, Kulim, 30 Julai nanti.

Ditubuhkan lima tahun lalu, TGR memiliki beberapa pelumba berbakat dan berpengalaman dalam meredah laluan sukar dan berbukit, namun tidak mahu terlalu yakin kerana menyedari kehadiran ramai pelumba berpengalaman lain yang tidak kurang hebatnya.

Ketuanya, Mokhtar Said berkata, TGR mempunyai lebih 50 pelumba berusia antara 15 hingga 53 tahun terdiri daripada penggemar sukan basikal lasak dari Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Mengkuang Titi, Pulau Pinang dengan kebanyakan mereka memiliki pengalaman menyertai pelbagai perlumbaan termasuk HMMTB.

Katanya, seperti saingan lain sebelum ini, TGR akan menampilkan 15 pelumba dan akan menyertai kategori terbuka, junior dan veteran dengan harapan dapat memberi saingan kepada pelumba lain.

“Bagi memastikan pelumba TGR dapat memberi saingan pada hari pertandingan nanti, kami melipatgandakan latihan menggunakan beberapa trek sekitar Padang Serai dan juga Sungai Petani pada waktu malam bagi menguatkan stamina, fizikal serta mental,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, namun beberapa pelumba muda berbakat yang bakal ditampilkan pada HMMTB kali ini diharap mampu mencabar.

“Saya sedar pelumba TGR bakal bersaing dengan pelumba yang jauh lebih hebat dan berpengalaman, saingan sengit pasti berlaku pada sirkit 1 ini tetapi kami mampu mengatasi segala halangan berdasarkan kebolehan dan semangat jitu yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:08 AM