PASUKAN CCT sedia beri saingan pada MTB Sirkit 1 di Kulim.
PASUKAN CCT sedia beri saingan pada MTB Sirkit 1 di Kulim.
Azahar Hashim


Kulim: Pengalaman dimiliki pelumba senior Cekang Cycling Team (CCT) menjadi harapan buat pelumba baru pasukan berkenaan dalam berdepan saingan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1 yang akan berlangsung di Kulim Hi-Tech Park di sini, Sabtu nanti.

Presiden CCT Mohd Irwan Mazlan berkata, kebanyakan pelumba yang menyertai pasukan terbabit adalah pelumba baru selepas CCT ditubuhkan tahun lalu.

Katanya, walaupun pasukan CCT masih baru, namun mereka mempunyai beberapa pelumba berpengalaman dan pernah menyertai Harian Metro MTB di sekitar wilayah Utara sebelum ini.

“Antara pelumba harapan kami ialah Mohd Sofian Ismail yang berpengalaman dalam sukan basikal lasak sejak 2008 di mana beliau sudah menyertai banyak Jamboree serta pertandingan MTB di negara ini.

“Melalui pengalamannya, kami berharap pelumba lain dapat mempelajari teknik kayuhan dan mengatasi cabaran di trek terutama laluan berbukit dan luar jalan yang memerlukan kemahiran selain kekuatan fizikal untuk mengawal basikal.

“Pengalaman yang ada pada pelumba senior boleh dijadikan sebagai motivasi pasukan supaya pelumba lain terutama junior dapat menghabiskan perlumbaan di kalangan kelompok terbaik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sofian berkata, beliau menyifatkan Harian Metro MTB sebagai acara sukan berbasikal yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan basikal lasak di negara ini.

Katanya, pasukan CCT ditubuhkan pada Ogos tahun lalu dengan keahlian seramai 20 orang di mana kebanyakan mereka terdiri daripada kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Pulau Pinang.

“Harapan dan sandaran pasukan kami yang masih baru ini ialah semua pelumba dapat menamatkan kayuhan di samping dua atau tiga pelumba lain juga mampu berada di dalam kedudukan 50 terbaik.

“Sebagai persediaan awal, kami mengadakan latihan sebelum Ramadan pada setiap minggu dan berehat untuk menjalani ibadat berpuasa.

“Bagaimanapun, kami kembali melakukan latihan mengelilingi pulau (Pulau Pinang) sejauh 83 kilometer, selain laluan berbukit di Machang Bubuk di samping latihan secara individu setiap petang,” katanya.

Katanya, beliau menganggap laluan yang bakal dihadapi untuk saingan ini mungkin sama dengan trek jamboree dalam pertandingan lain, tetapi daripada segi pemilihan laluan, kawalan lalu lintas, petunjuk arah laluan, pegawai pertandingan serta penamat adalah yang terbaik berbanding kejohanan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:43 AM