AFP

Wigan, England: Jose Mourinho (gambar) memberi penghargaan kepada bek kiri England Luke Shaw yang kembali daripada rehat 10 bulan akibat kecederaan pada perlawanan pertama kendalian pengurus baru Manchester United.

Shaw, yang tidak beraksi sejak tulang kakinya patah dua pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven, beraksi sepanjang 45 minit pertama sewaktu menang 2-0 ke atas kelab Liga Kejuaraan Wigan ketika pengurus Portugal itu memulakan babak baru kariernya dengan penuh bergaya.

“Sewaktu saya bertemu Luke di padang latihan, saya terkejut kerana menyangka dia hanya akan mengikuti latihan pada tahap tertentu tetapi dia luar biasa sepanjang musim panas ini,” kata Mourinho.

“Dia mengorbankan cutinya. Dia tinggal di Manchester dan berada di padang latihan setiap hari untuk memperbaiki prestasinya. Sudah tentulah keyakinan dan ketajaman sedikit tumpul tetapi dia bekerja keras.

“Dia ingin bermain lebih daripada 45 minit tetapi lebih baik bermain dalam tempoh 45 minit yang selamat, jadi kita ikuti langkah demi langkah.”

Shaw, 21, yang dilihat tegap dan cergas, biarpun dalam persekitaran hambar, jelas sekali menikmati cabaran untuk mengukuhkan kedudukannya dalam barisan baru United di bawah kendalian pengurus baru.

“Saya tidak sabar dan mahu meneruskan apa yang saya lakukan sejak mula,” kata Shaw.

“Semua orang membantu saya, baik kelab mahu pun keluarga dan kawan yang berperanan besar membantu saya melaluinya jadi terima kasih kepada mereka.

“Saya tidak mahu mengingati kisah lalu, saya mahu menghadapi apa yang datang. Perkara penting adalah mengharungi pramusim dan bersedia. Pramusim juga sangat penting. Saya tidak beraksi selama 10 bulan dan tidak sabar mahu bermain.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 7:57 AM