AFP

London: Pertahanan Manchester United Luke Shaw (gambar) kembali turun berlatih buat kali pertama kelmarin sejak mengalami patah kaki September lalu.

Pemain kebangsaan England Shaw, 20, menjalani latihan bersama pakar fisio United ketika dia memasuki peringkat terakhir pemulihan berikutan kecederaan dialaminya ketika aksi Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven.

Kehadiran Shaw pada sesi latihan disahkan oleh rakan sepasukan United Juan Mata, yang mengepos gambar kedua-duanya dalam Instagram dengan keterangan: “Rakan saya @lukeshaw23 baru kembali berlatih! Semakin hampir.”

Pengurus United Louis van Gaal baru-baru ini mengesahkan Shaw akan kembali berlatih minggu ini, sekalipun beliau menegaskan dia mungkin tidak beraksi lagi hingga hujung musim yang akan berakhir dengan final Piala FA di Wembley pada 21 Mei ini.

Sembilan hari sebelum final itu, Roy Hodgson dijangka menamakan skuad England bagi Euro 2016, bermakna Shaw juga mungkin terlepas aksi pusingan akhir di Perancis.

“Luke Shaw akan mula berlatih di padang minggu depan,” kata Van Gaal Jumaat lalu.

“Tapi amat sukar buatnya untuk beraksi pada final Piala FA.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:18 AM