AKSI Dalot menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
AKSI Dalot menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
Reuters

Wigan, England: Jaringan Diogo Dalot dan penalti Bruno Fernandes membolehkan Manchester United meraih kemenangan di Wigan Athletic dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium DW, awal pagi tadi.

Kemenangan ke atas skuad Liga Satu itu melegakan juara 12 kali Piala FA yang tersisih daripada saingan Eropah dan Piala Liga serta menduduki tangga kelapan carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Piala FA semuanya mengenai kemenangan, ia kalah mati. Anda mahu menamatkan tugas. Itu saya katakan dalam bilik persalinan 'tugas selesai'," kata pengurus United Erik ten Hag kepada ITV.

United akan menentang pemenang aksi ulangan pusingan ketiga antara Newport County dan Eastleigh FC di pusingan keempat.

Skuad Ten Hag berjaya mengelakkan kekalahan kelapan daripada 14 perlawanan di tempat lawan dalam semua kejohanan sejak final Piala FA musim lalu menyaksikan mereka tewas di tangan Manchester City.

Dalot meletakkan United di depan pada minit ke-22 di Wigan selepas hantaran Marcus Rashford disudahkan pemain Portugal itu menerusi rembatan ke penjuru kiri gawang Wigan.

"Ia memberikan kami lebih keyakinan," kata Dalot. "Kami perlukan gol untuk kami lebih tenang dan tidak terburu-buru mencari jaringan. Kami cipta banyak peluang dan sepatutnya menang lebih besar. Itu yang kami terlepas hari ini."

Fernandes menggandakan jaringan United pada minit ke-74 menerusi penalti selepas dikasari Liam Shaw. Namun mereka juga melepaskan banyak peluang.

"Oh, sudah tentu, kami patut dapat lebih banyak gol," kata Ten Hag. "Pada babak pertama, kami mencipta lima atau enam peluang terbaik. Saya fikir ia bola sepak terbaik. Kami seharusnya menang lebih besar tapi jika anda tidak jaringkan gol, anda perlu kekal fokus dan itu yang kami lakukan malam ini."

Skuad Ten Hag melakukan 33 percubaan, 14 tepat ke sasaran berbanding Wigan sembilan. Rashford mencipta lapan percubaan dengan empat menuju sasaran.

Wigan menewaskan Manchester City di Wembley untuk menjuarai Piala FA 2013 yang juga antara kejutan terbesar di kejohanan itu. Namun mereka gagal menyekat United walaupun mempamerkan aksi terbaik.

"Bangga dengan pemain saya," kata pengurus Wigan, Shaun Maloney. "Perlawanan sukar tapi pengalaman sangat bagus untuk pemain saya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:23 AM