MOURINHO anggap Pogba sebagai 'raksasa'. Foto EPA
MOURINHO anggap Pogba sebagai 'raksasa'. Foto EPA
AFP

JOSE Mourinho memuji kesanggupan kapten Manchester United Paul Pogba untuk ‘mengorbankan’ keletihannya selepas membawa kelab itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Kurang daripada sebulan selepas Pogba menjaringkan gol di Piala Dunia bagi membolehkan Perancis menjulang kejuaraan, dia kembali diberi kepercayaan oleh Mourinho untuk beraksi biarpun baru saja menyertai latihan pramusim minggu ini.

Sepakan penalti Pogba pada minit ketiga melegakan tuan rumah bagi menangkis kegusaran Mourinho selepas gagal mendapatkan pemain sasarannya sebelum tarikh akhir perpindahan pemain Khamis lalu.

Luke Shaw memastikan kemenangan tujuh minit sebelum tamat perlawanan meskipun Jamie Vardy meledak gol sagu hati buat pasukan pelawat selepas itu.

Selepas seminggu kisah Pogba dikaitkan dengan perpindahan dari Old Trafford, dengan minat ditunjukkan Barcelona apatah lagi dengan hubungan dingin pemain Perancis itu dengan Mourinho apabila kerap digugurkan musim lalu, jurulatih Portugal itu memberi kepercayaan kepada pemain tengah itu untuk menggalas tugas kapten.

“Pogba bagaikan raksasa,” kata Mourinho.

“Kami sangka secara maksimumnya dia mampu bermain 60 minit tetapi dia beraksi selama 80 minit.”

Di sebalik kemelut jendela perpindahan, Mourinho berdepan isu kecederaan dan ketidakcergasan pemain selepas Piala Dunia.

“Paul sungguh hebat, sumbangannya menakjubkan tetapi kami kehilangan tenaga. Kami berdepan  masalah,” kata Mourinho.

“Saya tidak ingat pernah berdepan masalah seteruk ini untuk membuat pertukaran kerana saya mahu membuat lima atau enam pertukaran tetapi saya hanya berjaya melakukan tiga.”

Mourinho ternyata kecewa apabila gagal mendapatkan beberapa bek tengah sebagai sasarannya termasuk pemain Leicester Harry Maguire yang cemerlang bersama England di Russia.

“Ia akan menjadi musim yang sukar buat semua, bukan kami saja,” kata Mourinho.”Saya membuat perancangan sejak berbulan lamanya dan saya dapati jendela perpindahan ditutup dalam situasi yang tidak saya ingini.” 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 9:49 AM