Bangkok: Sekumpulan aktivis semalam mendesak Britain menyerahkan maklumat berhubung penjualan alat pengesan bom palsu kepada Thailand yang menyebabkan ramai individu tidak bersalah ditahan.

Dua ahli perniagaan Britain, Gary Bolton dan James McCormick dipenjara pada 2013 selepas memperoleh keuntungan jutaan dolar hasil penjualan alat pengesan bom yang dikenali sebagai GT200.

GT200 dan beberapa peralatan serupa dijual ahli perniagaan itu didakwa mampu mengesan partikel kecil bahan letupan dan dadah dari jarak beberapa ratus meter.

Bagaimanapun, alat itu hanya kotak plastik dengan antena berharga beberapa dolar, tetapi dijual pada harga AS$3,300 (RM13,526) hingga AS$13,000 (RM53,287) seunit.

Antara negara membeli alatan itu termasuk Thailand, Mexico dan Iraq.

Pemimpin prodemokrasi Thailand, Jatuporn Prompan semalam, menyerahkan surat kepada kedutaan Britain di Bangkok bagi mendesak London berkongsi kontrak penjualan alatan berkenaan.

“Pihak berkuasa Britain perlu mendedahkan kontrak berkenaan dan harga alat ini,” katanya.

Satu siasatan rasuah mengenai punca tentera Thailand dan jabatan lain membeli beratus-ratus alatan berkenaan tidak diteruskan.

Jurucakap Pemantau Hak Asasi Manusia Asia, Sunai Phasuk berkata, penggunaan alatan itu menyebabkan sejumlah penduduk di selatan Thailand ditahan dan dipenjarakan secara salah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 5:45 AM