Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) melihat peralatan mencegah kebakaran yang akan diserahkan kepada pusat tahfiz  di bawah Projek  Madrasah Impianku sumbangan  Pasaraya Econsave Cash And Carry dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Persatuan Intitusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) di sini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) melihat peralatan mencegah kebakaran yang akan diserahkan kepada pusat tahfiz di bawah Projek Madrasah Impianku sumbangan Pasaraya Econsave Cash And Carry dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Persatuan Intitusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) di sini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Maran: Sebanyak 30 madrasah tahfiz di Pahang menerima sumbangan keseluruhan RM82,000 menerusi projek Madrasah Impianku yang diadakan di pekarangan Pasaraya Econsave Cash And Carry Jengka, di sini.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, program kerjasama dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Persatuan Institusi Al-Quran Kebangsaan (Pinta) Pahang itu bagi melengkapkan madrasah tahfiz dengan peralatan pencegahan kebakaran.

" Tabung Madrasah Impianku berjaya mengutip RM800,000 dan sebelum ini, wang tunai sebanyak RM2,000 sudah diberikan kepada madrasah terbabit.

"Kali ini kita menyumbangkan tujuh jenis peralatan pencegahan kebakaran seperti alat pemadam api, lampu keluar, lampu kecemasan, siren kebakaran, pengesan gas, pengesan asap dan kotak kunci kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, dengan pemberian itu diharap madrasah di Pahang lengkap dengan alatan mencegah kebakaran bagi mengelak kejadian yang tidak diingini serta pelajar madrasah dapat belajar dalam keadaan selamat.

" Jadi, dengan sumbangan ini secara tidak langsungĀ  mempertingkatkan ciri keselamatan serta risiko ancaman kebakaran di madrasah tahfiz di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian alat mencegah kebakaran di pekarangan pasaraya Econsave Jengka di sini.

Mas Imran berkata setakat ini Econsave dan MyCARE sudah membantu 184 madrasah di seluruh negara termasuk 36 madrasah di Johor, 32 di Negeri Sembilan), 65 di Selangor dan Kuala Lumpur, 21 di Melaka) serta 30 di Pahang .

Katanya, setiap madrasah mendapat peralatan mencegah kebakaran turut menerima wang tunai RM2000.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian alat peralatan kebakaran kepada 30 madrasah tahfiz oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebelum itu, Datuk Seri Syed Ibrahim dalam ucapannya memuji langkah diambil Econsave dan MyCARE membantu madrasah di negeri ini.

"Kerajaan negeri menyokong inisiatif Econsave dan MyCARE tersebut yang menyalurkan bantuan berbentuk kewangan dan peralatan mencegah kebakaran kepada madrasah di Pahang dan juga seluruh negara.

"Saya sedia maklum dengan masalah dan cabaran dihadapi madrasah di Pahang dan inisiatif Econsave dan MyCARE perlu diberi sokongan," katanya.

Sementara itu, Mudir Madrasah Darul Uloom Al islamiah, Jengka, Ujang Pontian mengucapkan terima kasih kepada Econsave dan MyCare yang mengambil langkah proaktif membantu madrasah yang masih kekurangan peralatan tertentu

Katanya, walaupun di madrasahnya mempunyai alat pemadam api, tetapi tidak mencukupi malah pemberian alatan lain pencegahan kebakaran seperti lampu kecemasan, siren kebakaran dan pengesan asap amat membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:56 PM