GAMBAR menunjukkan mayat mangsa bergelimpangan selepas serangan gas sarin dipercayai dilancarkan tentera Syria di Khan Sheikhun pada 4 April lalu. - Agensi
GAMBAR menunjukkan mayat mangsa bergelimpangan selepas serangan gas sarin dipercayai dilancarkan tentera Syria di Khan Sheikhun pada 4 April lalu. - Agensi
AFP

New York: Britain kelmarin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Syria selepas siasatan mendapati negara itu menggunakan serangan gas sarin terhadap orang awam.

Panel Organisasi untuk Senjata Kimia Terlarang (OCPW) berkata, tentera udara Syria menggugurkan bom di bandar Khan Sheikhun yang dikuasai kumpulan penentang pada 4 April lalu.

Bom itu membebaskan gas saraf yang membunuh lebih 80 orang terutama kanak-kanak dan wanita.

“Satu tindakan antarabangsa kini penting bagi menghukum pihak yang bertanggungjawab dalam serangan di Khan Sheikhun.

“Majlis Keselamatan kini bertanggungjawab untuk bertindak mengikut penemuan itu dan menegakkan keadilan,” kata duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft.

Menurutnya, Britain kini berbincang dengan Amerika Syarikat bagi merangka satu resolusi bagi mengenakan sekatan terhadap Syria.

Bagaimanapun, tindakan itu dijangka berdepan kuasa veto dari Russia yang juga sekutu rapat Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Russia juga mempersoalkan hasil siasatan itu dan mendakwa banyak maklumat tidak konsisten dalam laporan agensi yang diketuai PBB itu.

Moscow juga mengkritik penyiasat kerana menggunakan keterangan saksi yang diragui dan bukti yang tidak disahkan.

Russia sebelum ini mendakwa serangan gas sarin itu kemungkinan besar berpunca daripada bom yang diletupkan di darat bukannya oleh serangan udara Syria.

Britain menuduh Russia cuba melindungi Syria dan mendesak Moscow turut bertanggungjawab dalam serangan di Khan Sheikhun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:42 AM