KANAK-KANAK Palestin bermain layang-layang di kawasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin bermain layang-layang di kawasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir. FOTO AFP
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meluluskan penjualan bom dan jet pejuang baharu bernilai berbilion dolar kepada Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini, lapor Agensi Anadolu.

Senjata diluluskan untuk jualan oleh Biden itu termasuk 1,800 bom MK84 2,000 paun dan 500 bom MK82 500 paun, kata pegawai Jabatan Negara dan Pertahanan yang tidak dikenali kepada akhbar Washington Post.

Seorang lagi pegawai AS berkata, Jabatan Negara minggu lalu meluluskan pemindahan 25 jet pejuang dan enjin F-35A. Pesawat dan enjin itu dianggarkan bernilai sekitar AS$2.5 bilion (kira-kira RM11.81 bilion).

Jualan belum dimaklumkan secara terbuka, dan tiada pengumuman yang sepadan di laman web Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan di mana pemberitahuan sedemikian biasanya disiarkan.

Biden dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semakin bertelagah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang terbaharu selepas AS tidak memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza.

Netanyahu bertindak balas dengan secara tiba-tiba membatalkan lawatan delegasinya ke Washington, yang bertujuan membincangkan alternatif AS kepada pencerobohan Israel ke atas Rafah.

Mesyuarat itu kini dijadualkan semula. Tetapi perselisihan itu nampaknya tidak menjejaskan kesediaan Biden untuk terus membekalkan Israel dengan senjata.

Keputusan untuk secara senyap jualan senjata itu ketika semakin ramai rakan Biden dari Parti Demokratik, menggesa presiden itu untuk menetapkan syarat tambahan terhadap pembelian senjata oleh Israel. Ia susulan tindakan rejim itu termasuk menghalang kepada penyediaan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Dua minggu lalu, beberapa senator Demokrat menghantar surat kepada Biden menggesanya menghentikan penjualan senjata ke Tel Aviv, kerana ia kini melanggar undang-undang 1961 yang melarang penjualan senjata kepada negara yang menghalang penyampaian bantuan AS.

"Amerika Syarikat tidak seharusnya memberikan bantuan ketenteraan kepada mana-mana negara yang mengganggu bantuan kemanusiaan AS.

"Undang-undang Persekutuan adalah jelas, dan memandangkan krisis yang mendesak di Gaza serta keengganan berulang kali Perdana Menteri Netanyahu untuk menangani kebimbangan AS mengenai isu ini, tindakan segera adalah perlu untuk mendapatkan perubahan dalam dasar oleh kerajaannya," kata kenyataan bersama senator Bernie Sanders, Chris Van Hollen, Jeff Merkley, Mazie Hirono, Peter Welch, Tina Smith, Elizabeth Warren dan Ben Ray Lujan.

Perang Israel ke atas Gaza kian berterusan dengan kemusnahan yang meluas, pemindahan dan kematian di seluruh wilayah pantai itu. Tel Aviv berikrar untuk melancarkan serangannya ke bandar selatan Rafah, di mana kira-kira 1.5 juta orang mencari perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:05 PM