GAMBAR menunjukkan pihak berkuasa menyusun beratus-ratus senjata api dan peluru yang dirampas dari sebuah rumah agam di  Los Angeles. FOTO Agensi
GAMBAR menunjukkan pihak berkuasa menyusun beratus-ratus senjata api dan peluru yang dirampas dari sebuah rumah agam di Los Angeles. FOTO Agensi
Agensi

LOS ANGELES: Pihak berkuasa menahan seorang lelaki selepas merampas lebih 1,000 senjata api di sebuah rumah agam di kawasan elit di Los Angeles.

Polis dan ejen dari Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan menggeledah rumah berkenaan kelmarin yang terletak di sempadan Bel Air dan Holmby Hills serta tidak jauh dari rumah agam Playboy.

Pihak berkuasa berkata, mereka menerima maklumat dari sumber yang tidak didedahkan identiti mengenai aktiviti penjualan senjata api secara haram di rumah berkenaan membabitkan nilai jutaan dolar.

Antara barangan yang dirampas termasuklah raifal, pistol dan ribuan peluru bersama peralatan membuat senjata.

Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melanggar undang-undang negeri itu yang melarang membuat dan menjual senjata tentera dan raifal berkuasa tinggi.

Pihak berkuasa memberitahu, serbuan berkenaan tidak memberi ancaman terhadap orang awam.

Beberapa gambar yang dirakam di lokasi kejadian menunjukkan pihak berkuasa menyusun beratus-ratus raifal dan pistol serta ribuan peluru.

Polis berkata, siasatan masih dijalankan di kawasan rumah agam terletak di lereng bukit itu yang berharga jutaan dolar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:36 AM