BOATENG (dua dari kiri) dikeluarkan selepas mengalami kecederaan di kaki.
BOATENG (dua dari kiri) dikeluarkan selepas mengalami kecederaan di kaki.
AFP

Paris: Penggantian Jerome Boateng ketika Jerman mengalahkan Ireland Utara kelmarin adalah salah satu langkah berhati-hati selepas pemain itu mendakwa mengalami kesakitan di bahagian betis, jelas pengurus Joachim Loew.

Pertahanan tengah Bayern Munich itu dikeluarkan pada minit ke-76 di Parc des Princes, yang mana gol Mario Gomez pada separuh masa pertama membawa Jerman ke pusingan kalah mati Euro 2016 selaku juara Kumpulan C.

Bagaimanapun, Loew yakin Boateng boleh diturunkan dalam kesebelasan utama di Lille Ahad ini, yang mana mereka akan berdepan sama ada Albania, Slovakia atau pasukan tempat ketiga dalam Kumpulan F.

“Pada separuh masa pertama Jerome mengalami kecederaan di bahagian kaki. Ia menjadi semakin tidak selesa pada separuh masa kedua, jadi ia memang jelas pertukaran harus dilakukan untuk mengelak risiko lebih tinggi.

“Ia kadang-kadang berlaku di bahagian betis, ini bermakna dua atau tiga minggu tidak boleh beraksi. Saya tidak mahu mengambil risiko.

“Saya rasa kami sudah menukarnya dengan awal dan berharap staf perubatan mampu untuk merawatnya. Saya beranggapan dia boleh bermain untuk perlawanan seterusnya,” kata Loew. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 8:32 AM