HUMMELS melihat rakan beraksi dari tempat duduk simpanan.
HUMMELS melihat rakan beraksi dari tempat duduk simpanan.
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Jurulatih Jerman Joachim Loew (gambar) menyatakan keutamaanya ketika ini adalah untuk memastikan kapten Bastian Schweinsteiger dan tonggak pertahanan tengah Mats Hummels cergas sepenuhnya bagi menghadapi Euro 2016 susulan kemenangan 2-0 ke atas Hungary, awal pagi semalam.

Schweinsteiger diturunkan beraksi untuk 23 minit terakhir di Gelsenkirchen selepas tiga bulan diketepikan akibat kecederaan ligamen lutut manakala Hummels berehat kerana masalah kecederaan betis.

Schweinsteiger, bintang Manchester United mengakui dia mungkin tidak boleh beraksi selama 90 minit bersama Jerman bagi perlawanan pembukaan Kumpulan C Euro 2016 menentang Ukraine di Lille pada 12 Jun ini sebelum berdepan Poland empat hari selepas itu dan kemudian Ireland Utara pada 21 Jun.

Turut berkongsi nasib sama Hummels yang mengesahkan tidak akan cergas sepenuhnya hingga sekurang-kurangnya perlawanan kedua menentang Poland di Paris pada 16 Jun ini.

“Dia masih tidak mendapat rentak permainan setakat ini jadi kami kena tunggu dan lihat,” kata Loew ketika ditanya mengenai kemungkinan Schweinsteiger akan berada dalam skuad juara dunia untuk perlawanan pertama.

“Kami perlu melihat perkembangan Hummels.”

Bagaimanapun Loew yakin Sami Khedira dan Jerome Boateng yang menerima rawatan di Gelsenkirchen akan cergas berdepan Ukraine.

“Kami mengeluarkan Sami Khedira pada awal babak kedua sebagai langkah berjaga-jaga, Boateng ada sedikit masalah penafasan tapi masih boleh meneruskan permainan,” ujar Loew. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:14 AM