Reuters

Marseille, Perancis: Jerman pasukan yang lebih baik ketika kalah 0-2 kepada Perancis pada separuh akhir semalam, tegas jurulatih Joachim Loew (gambar) sambil menyalahkan nasib buruk sehingga menyebabkan mereka gagal ke final.

Juara dunia itu memulakan perlawanan tanpa tiga pemain susulan penggantungan dan kecederaan sebelum kehilangan tonggak pertahanan Jerome Boateng pada separuh masa kedua.

Mereka mendominasi separuh masa pertama, namun sepakan penalti Antoine Griezmann membolehkan pasukan tuan rumah mendahului penghujung babak pertama.

“Tidak banyak perkara yang tidak memihak kepada kami. Kami pasukan yang lebih baik. Kami mempunyai banyak peluang dan permainan baik. Kami sangat kuat. Cuma agak malang, kami melepaskan gol itu. Nasib kami tidak begitu baik,” kata Loew.

“Kami mempunyai peluang, tapi gagal menjaringkan gol. Kami tidak mempunyai nasib yang diperlukan hari ini. Berbeza ketika tersingkir pada 2012 dan 2010, pasukan lawan memang lebih baik dari kami, tapi tidak hari ini,” katanya.

Menurut Loew, kehilangan tonggak pertahanan Boateng yang cedera sangat ketara.

“Pemain melakukan segala yang saya arahkan. Mereka tidak boleh dipersalahkan,” katanya.

Sepakan penalti mengubah perlawanan itu namun Loew enggan mengkritik keputusan pengadil Itali Nicola Rizzoli.

“Saya tidak mempunyai apa-apa yang perlu diperkatakan mengenai keputusan pengadil. Anda harus menerimanya. “Saya tidak tahu sama ada itu adalah penalti. Jika anda lihat bagaimana dia menghadapi bola itu yang terkena tangannya. Cuma nasib malang.

“Dia tidak boleh dipersalahkan, tapi tangannya memang berada di atas ketika anda boleh berkata ia tidak sepatutnya di situ.

“Memang ada pergerakan tapi kita tidak boleh mengawalnya,” katanya.

Selepas kesilapan pertahanan yang memberikan Griezmann gol kedua di minit ke-72, Jerman meningkatkan serangan untuk menyamakan kedudukan namun gagal.

“Kami cuba sedaya upaya pada separuh masa kedua. Kami memberi tekanan besar kepada lawan dan mempunyai banyak peluang pada penghujung perlawanan.

“Tapi inilah bola sepak,” tegasnya.

Loew meramalkan Perancis akan menjuarai Kejohanan Eropah kali ketiga mereka apabila berdepan Portugal di Stade de France, Ahad ini.

“Perancis berjaya layak ke perlawanan akhir dan jika anda menang 2-0 anda memang berhak. Saya fikir mereka akan menang ke atas Portugal.

“Saya fikir mereka pasukan yang baik dan Portugal setakat ini tidak menunjukkan banyak yang boleh diperkatakan, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:44 AM