MENJADI lokasi tumpuan kebanyakan orang sepanjang bulan puasa.
MENJADI lokasi tumpuan kebanyakan orang sepanjang bulan puasa.
Siti Farahiyah Aziz


Setiap kali Ramadan, bazar menjadi destinasi atau aktiviti yang tidak akan dilepaskan golongan muda pada setiap hari bermula 5 petang hingga menjelang waktu berbuka puasa.

Kekangan masa dan berjauhan dengan keluarga menyebabkan kebanyakan daripada mereka memilih membeli juadah berbuka di bazar berbanding masak sendiri.

Selain itu, ada juga segelintir daripada mereka berbuka bersama rakan terutama bagi remaja yang masih bergelar mahasiswa.

Mungkin bagi sesetengah golongan muda, mereka lebih gemar ke deretan gerai kecil berbanding bazar kerana tidak sanggup berdepan kesesakan orang ramai dan mencari tempat letak kereta.

RAMBANG MATA

Saat mendekati bazar, pelbagai aroma mula dihidu membuatkan keinginan diri mula bercampur-baur. Bagi yang tinggal bersama keluarga, ia tidak menjadi masalah kerana keinginan boleh dituruti dengan cara meminta ibu atau ahli keluarga sediakan.

Walaupun sudah menetapkan juadah akan dibeli, kebiasaannya ia mula berubah apabila sesudah sampai di bazar kerana terlalu banyak pilihan sehingga terdorong membeli makanan yang tidak termasuk dalam senarai.

UTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESIHATAN

Apabila berada di bazar, jangan terburu-buru membuat keputusan membeli makanan. Anda perlu memerhati keadaan di sekeliling gerai sama ada ia bersih atau sebaliknya kerana ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan anda.

Makanan yang tidak bersih boleh mengandungi bahan berbahaya atau bakteria yang menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti taun, tifoid, keracunan makanan dan penyakit kuning (Hepatitis A).

BAZAR RAMADAN YANG POPULAR

Jalan Raja Alang, Kampung Baru

Setiap kali Ramadan, lokasi ini menjadi tumpuan orang ramai, termasuk orang kenamaan untuk membeli pelbagai juadah berbuka daripada lauk-pauk, kuih dan minuman.

Selain itu, Kampung Baru juga sinonim dengan bubur lambuk yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai setiap kali Ramadan.

Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR)

Lokasinya yang strategik di tengah ibu kota memudahkan warga kota membeli juadah berbuka puasa selepas waktu bekerja. Antara makanan yang terkenal di bazar berkenaan ialah cendol dan air mata kucing.

Taman Tun Dr Ismail (TTDI)

Bagi penggemar tepung pelita, nasi tomato, ayam masak merah dan popiah serta masyarakat sekitar Damansara dan Bandar Utama, Bazar TTDI di Jalan Tun Mohd Fuad 3 akan menjadi salah satu lokasi bazar yang dikunjungi pada Ramadan.

Pantai Dalam

Bazar ini sentiasa menjadi lokasi bagi penduduk sekitar Bangsar serta pelajar Universiti Malaya kerana ia adalah salah satu bazar yang paling hampir dengan mereka. Walaupun bazarnya lebih kecil berbanding yang lain tapi terdapat pelbagai makanan dan minuman yang dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 1:34 PM